Saturday, February 12, 2011

Debat Nik Abdul Aziz hanya 'khayalan politik'?

"MUNGKIN ramai sudah terlupa bagaimana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperlekeh ulama tersohor Sheikhul Al-Azhar, Allahyarham Dr. Muhammed Sayyid Tantawi sebelum Pilihan Raya Umum 2008.

Semuanya disebabkan Tantawi mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan mengesahkan konsep Islam Hadhari yang dilaksanakan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menepati ajaran Islam.

"Tantawi ini..., siapa dia? Tantawi orang Arab yang belajar di Al-Azhar (universiti). Saya pun belajar di Al-Azhar, Datuk Seri Presiden (Abdul Hadi Awang) juga belajar di sana.

"Kita tak rujuk pada Tantawi kerana dia pun kena rujuk al-Quran. Takkan dia buat sendiri. Kalau rujuk al-Quran, saya pun rujuk al-Quran. Apa susah?," bait-bait perkataan ini terkeluar dari mulut Nik Aziz pada 5 Mac 2008 beberapa hari sebelum hari pembuangan undi.

Daripada apa yang dikatakannya itu, jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mengiktiraf mana-mana ulama termasuk dari luar negara disebabkan merasakan dirinya 'benar' dan tidak ada orang lain yang lebih benar daripadanya.

Disebabkan itu juga, maka hari ini Menteri Besar Kelantan itu bersetuju untuk bermuzakarah atau berdialog atau berdebat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Namun, persoalannya adakah persetujuan itu akan menjadi realiti ataupun sekadar kenyataan politik kerana jelas pandangan sesiapa pun tidak akan diterimanya.

Bagi pendakwah bebas, Mohd. Saifuddin Abdul Rahman, muzakarah tersebut tidak akan menjadi kenyataan kerana terlalu banyak halangan terutama faktor dalaman Nik Aziz itu sendiri.

"Kalau Nik Aziz yang saya kenal, muzakarah ini tidak akan menjadi, dia bukan ahli debat dan seingat saya, dia tidak pernah berdebat atau bermuzakarah dengan mana-mana ahli agama untuk mencari penyelesaian dalam isu-isu yang berbangkit.

"Saya bersama beberapa tok guru pondok pernah beberapa kali mahu bertemu dengannya (Nik Aziz) untuk bermuzakarah tetapi dia tidak mahu berjumpa sejak tahun 1988. Dia seorang yang panas baran dan tidak boleh mengawal diri sekiranya berdebat dan kerana itu juga, Pas tidak pernah menyenaraikan namanya untuk berdebat," dakwanya.

Mohd. Saifuddin juga merupakan jurucakap kepada sebuah pertubuhan yang mengumpul pentadbir serta penuntut di pondok-pondok tradisional, Minda Pondok.

Justeru, bagi seorang yang memiliki ilmu agama, Mohd. Saifuddin menyifatkan kenyataan Nik Aziz untuk bermuzakarah hanya 'wayang politik' bagi memastikan pengaruhnya terus kekal.

"Kalau saudara tidak percaya tunggu selepas ini. Nik Aziz akan tukar ayat lain pula. Hari ini pun, dia telah meletakkan syarat itu dan ini, lama kelamaan ia akan hilang begitu sahaja.

"Umat Islam harus sedar, muzakarah ini penting bagi menyelesaikan banyak isu, terlalu banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz menimbulkan kekeliruan sehingga boleh memesongkan akidah seperti Allah pun mencarut," katanya.

Tambahnya, muzakarah seperti itu sememangnya dianjurkan oleh Islam kerana ia bukan sahaja menjelaskan kekeliruan tetapi juga menyatukan umat yang kini berpecah kepada beberapa kumpulan sehingga menyebabkan Islam mungkin tidak akan berkuasa di negara ini, sekiranya tidak diberikan perhatian serius.

Perlu diingat muzakarah ini bukan isu baru, ia isu lama. Biar dengan siapa pun waima Majlis Fatwa Kebangsaan pun, ia sukar menjadi kenyataan kerana Nik Aziz adalah orang politik.

Sifir orang politik amat mudah, setiap tutur kata dan gerak laku mesti memberikan keuntungan politik, tidak kira pada parti mahu pun diri individu itu sendiri. Jadi, anggaplah cadangan muzakarah ini hanya satu khayalan politik biarpun Majlis Fatwa Kebangsaan atau ulama seperti Mohd. Noor Deris bersetuju. Nik Aziz tetap Nik Aziz dan beliau tidak akan berubah biarpun usianya mencecah 80 tahun.

Apa yang dikatakannya seolah-olah syurga dan neraka hanya ada untuk ahli Pas. Ingat Tuan Guru, kita semua mahu masuk syurga.- utusan"

3 comments:

  1. salam...

    terima kasih add blog Panglima di sini.

    harap dpt jadi blogger hebat satu hari nanti.

    ReplyDelete
  2. "Apa yang dikatakannya seolah-olah syurga dan neraka hanya ada untuk ahli Pas. Ingat Tuan Guru, kita semua mahu masuk syurga"

    betul ker?? dan setahu saya dlm al-quran pun x der menyebut hal berkaitan dengan ayat diatas.

    ReplyDelete